Ayatul Qudus~

Friday, 30 December 2011

Kenali Ulama Mazhab Kita....

BIODATA IMAM SHAFIE

Ø  Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutolib ibn Abdu Manaf.

Ø  Nasab keturunan dengan Nabi Muhammad S.A.W: melalui datuk baginda Abdu Manaf dan melalui nasab ibu kepada Imam Syafie, Fatimah binti Abdullah ibn Hasan ibn Hussin ibn Ali ibn Abi Talib. Hubungan nasab ini diakui jumhur ulamak.

Ø  Lahir: Tahun 150 H di Ghazzah, Palestin.

Ø  Kehidupan:

Beliau membesar di dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya meninggal ketika Imam Syafie kecil lagi. Ketika berumur 2 tahun ibunya telah membawa ke Kota Makkah untuk berjumpa dengan saudara mara beliau dari keturunan yang dihormati.

Ketika Imam Syafie berumur 7 tahun, beliau telah pun menghafaz Al Quran dan selepas itu beliau menghafaz pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Imam Syafie juga menguasai ilmu bahasa Arab fushah. Di usia mudanya, beliau menuntut ilmu dari ramai fuqaha' di Makkah sehinggakan beliau diminta untuk memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah agama.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah di ceritakan bahawa setiap malam beliau membaHAgi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Imam Syafie kerap berhijrah ke luar negara untuk mengutip mutiara ilmu dari ramai ulamak yang tersohor pada masa itu. Beliau pergi ke Madinah Al Munawwarah untuk berjumpa dengan Imam Malik dan tinggal bersamanya sehingga ke penghujung hayat Imam Malik. Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 H.

Setelah itu Imam Syafie menyibukkan diri dengan ilmu agama dan beliau bertugas di Yaman. Ketika beliau di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Imam Syafie masuk ke Baghdad sebanyak 3 kali. Kali pertama pada tahun 183 H ataupun sebelum Khilafah Harun Ar Rashid. kali kedua pada tahun 195 H dan tinggal di Baghdad selama 2 tahun. Kali ketiga pada tahun 198 H.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Khalifah Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, kerana golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Justru, di mana sahaja kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Satu kali datang surat khalifah dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya. Jika urusan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa beliau termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan seorang demi seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dibunuh dengan dipenggal leher tahanan tersebut. Agar darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berselerak ia dialas dengan kulit binatang.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, memohon dari Allah SWT. Beliau dipanggil ke hadapan khalifah. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap khalifah. Semua para pembesar memerhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amir al-Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Saya tidak mengucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas, Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Tuanku telah menjadi khalifah, jawapan salam Tuanku tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Tuanku dengan baik bila saya masih dirantai begini. Jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Tuanku itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan Tuankulah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana Tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid menundukkan kepalanya. Ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Beliau menjadi masyhur di kalangan umat Islam pada ketika itu. Setelah itu beliau berhijrah ke Mesir. Imam Syafie keluar masuk Mesir terlalu kerap sehinggakan tidak diketahui berapa kali.
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
iaitu : membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu : menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu : membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu : menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu : redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu : berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu : mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Ø  Wafat
Sehingga pada tahun 199 H Imam Syafie masuk semula ke Mesir dan meninggal dunia di Mesir pada malam Jumaat yang penuh barakah. Beliau dikebumikan selepas Asar pada hari Jumaat bertarikh 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M.
p/s : Marilah kita sama-sama mengenali para ulama kita,tak kenal maka tak cinta. Ulama adalah pewaris anbiya. Moga Allah sentiasa meredhai mereka dan diri kita. Ameen~