Ayatul Qudus~

Thursday 29 December 2011

Latihan Bagi Anak-Anak Berperwatakan Baik

Menurut Imam Al Ghazali didalam kitabnya The Ethics of Al-Ghazali, mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Ini berdasarkan dalil Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu.”    (Surah At-Tahrim : 6)


Didikan seharusnya diberikan sejak anak-anak masih kecil lagi. Latihan dan penekanan yang diberikan sejak kecil seakan memaksa tetapi secara beransur-ansur akan membentuk peribadi si anak dengan akhlak yang baik. Didikan baik dan betul yang diberikan kepada mereka membolehkan mereka menjadi individu yang cemerlang peribadinya seterusnya membantu mereka mendapatkan kehidupan bahagia pada masa akan datang.

Perumpamaan yang diberikan Al-Ghazali ialah jika seorang bapa itu menyelamatkan anaknya daripada api di dunia maka si bapa perlu melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. Maka seharusnya adalah lebih penting anak tersebut di ajar bagaimana caranya untuk menyelamatkan diri daripada api yang mana akan memudahkan anak tersebut menyelamatkan dirinya kelak.

Tambahan itu juga, Al Ghazali berpendapat latihan bagi anak-anak sepatutnya bermula sejak bermula kehidupan anak mereka. Mereka perlulah disusukan oleh wanita yang solehah yang mana akan membantu membentuk peribadi yang baik. Apabila anak sudah mula untuk bercakap maka ajarkanlah menyebut nama Allah yang Maha Agung yang menciptakannya. Semasa umurnya sudah mumayyiz perlulah diajarkan kepadanya tentang kesopanan, kerana sopan itu adalah kualiti yamg sangat baik dan harus digalakkan kepada kanak-kanak.

Al-Ghazali juga berpendapat bahawa keinginan (kehendak) yang dapat dilihat pada kanak-kanak adalah makanan, yang mana keinginan ini haruslah didisiplinkan. Mereka perlu diajar supaya membaca doa sebelum makan, makan dengan tangan kanan, makan dahulu apa makanan yang ada berhampiran dengannya, tidak mendahui orang lain ketika hendak mula makan, makan dengan teratur, dan tidak mengesat tangan pada pakaian. Al-Ghazali juga menyamakan sifat orang yang makan dengan gelojoh dan rakus sama seperti  binatang. Oleh hal yang demikian, perlulah diajarkan makan dengan tertib dan tidak mengambil makanan secara berlebihan cukuplah sekadarnya sahaja.

Disamping itu juga, Al-Ghazali berpendapat bahawa pakaian yang paling sesuai untuk kanak-kanak lelaki ialah yang berwarna putih dan daripada kain kasar. Maka perlu ditanamkan dalam minda mereka agar tidak menyukai pakaian yang bermacam warna, pakaian daripada sutera, dan tidak berlebihan dalam berpakaian. Semua ini demi mengelakkan mereka bersikap angkuh dan bangga diri disamping dapat menerapkan sifat zuhud, tawadhuk, dan rendah diri.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memberi ganjaran ataupun hadiah kepada anak-anak mereka sekiranya mereka melakukan perkara yang baik yang mana ini bertujuan untuk memberi semangat dan galakan serta dorongan kepada mereka supaya terus melakukan dan mengulangi perkara yang baik. Sekiranya si anak melakukan kesalahan untuk pertama kalinya, lebih baik dibiarkan sahaja. Tetapi sekiranya kesalahan yang sama berulang lagi, maka si ibu perlulah menegur dan memberikan amaran serta ancaman bahawa ayahnya akan memberikan hukuman seperti denda atau rotan sekiranya kesalahan yang sama berulang lagi.

Di sekolah pula, kanak-kanak perlu diajarkan segalanya mengenai Al-Quran seperti cara bacaan yang betul, hukum yang terkandung didalamnya, serta peristiwa dan kisah didalam Al-Quran,disamping itu juga perlu diajarkan kepada mereka mengenai budaya dan kisah-kisah mengenai alim ulama agar meresap dalam pemikiran mereka supaya timbullah perasaan kasih dan cinta kepada Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang soleh. Selepas waktu persekolahan, anak-anak perlulah  bersenam dan beriadah untuk merehatkan otak yang sudah tertumpu pada pelajaran sahaja. Jadi dengan bersenam dapat merehatkan minda, menguatkan fizikal dan menghindarkan diri daripada berasa bosan dengan asyik belajar tanpa rehat.

Selain itu juga, Al-Ghazali menyarankan agar anak-anak dilatih untuk bekerja keras dan berat sehingga dapat melahirkan seorang pemuda yang berjiwa kental, berkarisma, berkemampuan, rajin belajar dan berperibadi unggul. Mereka perlu dididik agar menjadi berani dan mempunyai sifat kelakian, kerana apabila dirotan atau dimarah cikgu, tidak mudah menangis atau merengek yang mana melatih jiwa mereka menjadi kuat dan kental. Beliau juga menasihatkan supaya anak-anak tidak dibenarkan tidur pada siang harinya dan tidak tidur terlalu lama pada malam harinya kerana tidur yang berlebihan menyebabkan diri menjadi malas.

Al-Ghazali juga berpesan supaya anak-anak diajar agar tidak bercakap besar dan bermegah dengan pangkat dan kedudukan ibu bapanya, makanan yang ada, dan segala apa yang dimiliki. Perumpamaan membenci dan menjauhi emas dan perak disamakan dengan perasaan takut kepada ular dan kala jengking. Sifat tamak kepada emas dan perak adalah lebih bahaya daripada bisa ular dan kala jengking, ia dapat dapat merosakkan si anak malahan orang dewasa juga.

Seterusnya, Al-Ghazali menekankan dalam aspek tatasusila ketika berbicara. Kesopanan dan disiplin perlu diajarkan seperti tidak bersilang kaki, tidak menongkat dagu, tidak menguap, menarik-narik hidung, dan tidak meludah. Dan akhir sekali, beliau berpesan supaya anak-anak diajar untuk tidak bermain dengan sumpah sama ada perkara itu benar atau salah. Kepentingannya adalah apabila mereka tidak dibiasakan dengan sumpah maka, apabila dewasa kelak dia tidak akan sewenang-wenangnya melanggar sumpah dengan mudah dan tidak mempedulikan segala larangan dalam syariat Islam.